Tiong Sii menyampaikan beg sekolah percuma kepada pelajar-pelajar di kawasan Repok.

SARIKEI: Kegembiraan terserlah pada wajah murid dan pelajar apabila menerima sumbangan beg sekolah percuma daripada Adun Repok Datuk Sri Huang Tiong Sii, hari ini.

Menurut Tiong Sii, sumbangan bertujuan meringankan beban ibu bapa membuat persiapan menjelang bermulanya persekolahan penggal pertama tahun depan.

“Dalam sesi pertama semalam, kita mengagihkan sebanyak 3, 893 buah beg kepada tiga sekolah menengah dan empat sekolah rendah.

“Manakala pada hari ini pula, kita menyumbangkan 1,699 buah beg untuk 13 buah lagi sekolah di sekitar Sarikei,” katanya kepada media.

Pemberian kelengkapan persekolahan percuma itu merupakan sebahagian tanda keprihatian wakil rakyat itu dalam membantu ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Tiong Sii mahu ibu bapa memanfaatkan sumbangan dengan sebaik-baiknya.

Beliau juga berharap dapat memberikan suntikan semangat kepada penerima untuk menjadi terbaik dan belajar bersungguh -sungguh demi membina masa depan.

“Sesungguhnya, hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru berupaya meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.

“Pada masa yang sama, persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memberikan saranan bagi menambahbaikkan program kecemerlangan yang telah dirancang oleh pihak sekolah,” katanya.

Suara Sarawak