KUCHING: Lebih 8,000 pengunjung dijangka hadir pada Festival Muzik dan Kesenian Sunbear yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Disember ini di Kampung Budaya Sarawak, di Santubong.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setakat ini lebih 5,000 tiket telah terjual dan yakin sasaran itu dapat dicapai menjelang pembukaan acara tersebut.

Menurutnya daripada jumlah tersebut, kira-kira 10 hingga 15 peratus tiket yang terjual melibatkan pembelian daripada pelancongan luar negeri Sarawak.

Festival muzik Sunbear akan menampilkan 44 peserta persembahan tempatan dan antarabangsa yang bakal menemui peminatnya di Malaysia khususnya Sarawak.

“Beberapa acara kemuncak yang saya nyatakan sebentar tadi Phum, The Red Jumpsuit Apparatus dari Amerika Syarikat selain persembahan pembukaan akan menampilkan band terkenal tanah air, iaitu Bunkface.

“Festival Sunbear juga akan menampilkan artis dan band dari Thailand, Norway, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia dan ramai lagi artis dari seluruh Asia dan Malaysia termasuk Fur, Phum Viphurit, Reality Club, Sekumpulan Orang Gila (SOG), ramengvrl, Danilla Riyadi, Plaque Kebahagiaan, Nicestupidplayground, Midnight Fusic dan banyak lagi,” katanya.

Festival Muzik dan Kesenian Sunbear di Sarawak merupakan penganjuran pertama di Asia Tenggara yang akan meningkatkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan tempatan.

Suara Sarawak