Datuk Majang Renggi. FOTO: UKAS

KUCHING: Seramai 118 (95.2 peratus) kakitangan yang berkhidmat di Lembaga Pelabuhan Bintulu terdiri daripada warga Sarawak, kata Datuk Majang Renggi.

Manakala, jumlah keseluruhan yang berkhidmat adalah sebanyak 124 orang, dedah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Adun Samalaju itu.

“Pecahan bagi orang Sarawak yang berkhidmat, 26 daripada 29 kakitangan (89.7 peratus) tergolong dalam kumpulan pengurusan dan profesional.

“Sementara, 92 daripada 95 kakitangan (96.8 peratus) terlibat dalam kumpulan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berhubung jumlah rakyat Sarawak terlibat dalam sektor pelabuhan, ketika Persidangan Hari Keempat Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa kesemua 29 orang tergolong dalam kumpulan pengurusan dan profesional merupakan kakitangan kekal.

Manakala, daripada jumlah 95 orang yang terbabit dalam kumpulan sokongan dipecahkan kepada dua, iaitu 54 tetap dan 41 kontrak.

Tegas Majang, pelabuhan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Menjadi dasar Kerajaan Sarawak bahawa pelabuhannya dikawal dan diuruskan oleh rakyat tempatan sendiri,” katanya ringkas.

Suara Sarawak