FASA Pertama Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (LPB) kini siap 88 peratus dan dua lagi pakej akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada November ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, 500.63 kilometer (km) daripada lebuh raya sepanjang 786 km itu telah siap sepenuhnya dan kini sudah boleh digunakan.

“Satu daripada pakej yang akan dibuka untuk kenderaan pada November ini di Selangau,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai prestasi projek dan isu-isu berbangkit projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Antara pakej Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah dibuka kepada kenderaan ialah Telok Melano–Sematan, Serian–Sri Aman dan Bintulu–Simpang Bakun, katanya dan menegaskan, hanya sebahagian dari Serian–Sri Aman iaitu di bahagian Bukit Begunan masih dalam pembinaan.

Bahagian jalan itu terpaksa dibuat kajian semula bagi mengelak risiko keruntuhan disebabkan struktur permukaan tanahnya yang lembut, tegasnya.

Begitu juga sebahagian daripada pakej pembinaan di bahagian Miri apabila mendapati terdapat bahagian jalannya ada mengandungi saluran paip lama.

“Kita berbincang untuk mengalih saluran paip berkenaan dan ini pasti memakan masa dan melibatkan kos tambahan.

Matlamatnya menyiapkan projek lebuh raya ini mengikut jadual,” tegas beliau dan menambah, jumlah pekerja di lebuh raya itu kini meningkat.

Fadillah berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa mendengar keluhan daripada pengguna jalan raya dan berusaha menambah baik setiap papan tanda di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Projek bernilai RM16.117 bilion itu dengan keseluruhan 11 pakej kerja sepanjang 786.41 kilometer dari Telok Melano ke Miri.

Ia memperkukuh dan memperluaskan jaringan jalan raya sedia ada dari Telok Melano, Sematan seterusnya ke bandar-bandar lain di Sarawak seperti di Lundu, Kuching, Bau, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Selangau, Tatau, Bintulu, Simpang Bakun, Miri, hinggalah ke Mengkalap-Merapok/sempadan Sindumin.

Ia juga bakal merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan dengan menghubungkan pusat-pusat perindustrian, contohnya di kawasan perindustrian Kuala Baram dan Piasau di Miri dengan pelabuhan dan hab ekonomi.

Pada tahun ini, dijangkakan terdapat beberapa lagi seksyen dalam lebuh raya itu akan dibuka dan tiga seksyen, iaitu di Sarikei, Bukit Begunan serta Lambir dijangka siap tahun depan.

Tiga seksyen itu berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk cabaran di tapak yang memerlukan penelitian semula.

Pan Borneo menggantikan jalan raya tunggal dua lorong sedia ada kepada laluan empat lorong dua hala bermula pada Oktober 2015.

Satu kontrak pakej kerja, iaitu WPC01 (Jajaran Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km) siap mengikut jadual pada 6 Januari 2019.

Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) juga kini sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi Projek Fasa Dua Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) dan peruntukan siling sebanyak RM12 bilion sudah ditetapkan bagi kedua-dua projek itu.

Penganugerahan kontrak untuk projek tersebut kepada kontraktor dibuat tahun ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada tahun hadapan.

Pada 7 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan Projek Fasa Dua SSLR serta Projek LTB, dan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.

Ismail Sabri berkata, penelitian teknikal bagi projek Fasa Dua SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.

Projek itu katanya, bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung pada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.

 

Suara Sarawak