Foto fail

KUCHING: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana ugut bunuh isterinya yang disangka membuka beg sandang miliknya.

Tertuduh Junaidi Joni, 47, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan terhadap isterinya berusia 46 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bintawa Tengah, kira-kira jam 8 pagi, 21 November lepas.

Menurut fakta kes, semasa kejadian di kediaman mereka, tertuduh bertindak mencekik leher, menampar muka, dan menendang badan mangsa berkali-kali di bilik tidur mereka.

Suspek juga telah mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh mangsa jika memberitahu kepada bapanya tentang kejadian tersebut.

Difahamkan, punca kejadian kerana tertuduh menyangka mangsa telah membuka beg sandang miliknya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak