SELANGAU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kemalangan di Batu 35, Jalan Tamin di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.43 malam.

Susulan itu, jelasnya, seramai tujuh anggotanya yang diketuai PBK II Abdul Malik Chi beserta sebuah jentera LFRT telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 34 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah Proton Wira yang bertembung dari arah hadapan.

“Kesan kemalangan itu mengakibatkan pemandu Proton Wira tersepit di dalam kenderaannya manakala pemandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini..

Tambahnya, bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, identiti mangsa yang maut dikenali sebagai William Ptrus berusia 50 tahun.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

 

KENDERAAN pacuan roda terbabit terbalik di bahu jalan.

Suara Sarawak