KUCHING: Pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak akan mempertaruhkan tiga pasukan pada Liga Bola Sepak Kebangsaan NFDP 2022 yang akan berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang bermula esok hingga Ahad.

Tiga pasukan yang dipertaruhkan itu melibatkan dua pasukan lelaki dan satu pasukan wanita berumur bawah 11 dan 12 tahun.

Menurut Ketua PPBN Negeri Sarawak Hazry Abdullah, ketiga-tiga pasukan terbabit akan berentap dalam kategori berbeza.

SEDIA GEGAR…Pasukan NFDP Sarawak lelaki Bawah 11 & 12 Tahun.

“Saingan akan bermula esok dan tiga pasukan terbabit siap sedia untuk berdepan lawan masing-masing.

“Kita tampil dengan tiga pasukan iaitu dua pasukan lelaki dan satu pasukan wanita,” ujar Hazry ketika mengulas mengenai perkara itu.

Menurut Hazry, beliau percaya pemain dari kesemua tiga pasukan terbabit mampu memberi tentangan sengit kepada lawan mereka kelak.

“Apa yang penting, pemain pasti akan cuba untuk memberikan persembahan terbaik serta mengikut perancangan yang diguna pakai,” tambahnya.

Suara Sarawak