KUCHING: Lima Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang DiPertuan Agong, hari ini

Antara ahli parlimen yang dijangka akan menghadap YDPA adalah wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot serta wakil dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Aaron Ago Dagang .

Manakala, dua ahli parlimen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga dijangka hadir menyembah Agong adalah Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai seorang lagi wakil yang dititahkan untuk menghadap YDPA, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Premier Sarawak menerusi satu kenyataan menyatakan GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Katanya GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Suara Sarawak