SAH BERTANDING… Lukanisman mengangkat tangannya sambil diapit oleh Zulhaidah Suboh (dua kanan) dan Bobby William (kanan) semasa diangkat menjadi calon rasmi untuk bertanding dalam kerusi Parlimen Sibuti.

MIRI: Penyandang sepenggal Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dari GPS bakal bertembung tiga penjuru selepas dua parti lain menghantar kertas penamaan calon di Dewan Masyarakat Bekenu di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda PBB, Lukanisman, 40, akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 menentang Zulhaidah Suboh daripada PKR dan Bobby William (PBDS).

Ketiga-tiga mereka diumumkan secara rasmi oleh Pengurus Pilihan Raya Rohanie Yusof selepas diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Sibuti.

Lukanisman tiba di pusat penamaan calon hari ini, sebelum pembukaan jam 9 pagi.

Mengiringi beliau ialah Adun Bekenu Datuk Rosey Yunus sebagai pencadang dan penyokongnya Adun Lambir Dr Ripin Lamat.

Dua pencabar tersebut Zulhaidah Suboh daripada PKR dan Bobby William (PBDSL) tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.54 pagi dan 9 pagi.

Pencadang Zulhaidah ialah Ladik Jupong dan Norhafizah Mohd Joharie sebagai penyokong, manakala Siti Berangkut sebagai pencadang Bobby dan Rusty Wati sebagai penyokongnya.

Kerusi Sibuti yang mula diwujudkan pada 2005, dan secara tradisinya dimenangi oleh Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Suara Sarawak