BINTULU: Seorang penyelia syarikat swasta berusia 59 tahun kerugian RM208,800 selepas terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitendan Batholomew Umpit berkata, ia bermula selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 15 November lalu.

Katanya, pemanggil itu mengatakan telah terima aduan daripada orang awam bahawa mangsa telah membuat 1,200 aduan memburukkan KKM di laman sosial dan kes tersebut disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, Sabah.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai polis dari IPD Kota Kinabalu, yang kemudian mengatakan mangsa terlibat kes pengubahan wang haram, pengedaran dadah serta berkerjasama dengan ‘Geng Lim Kok Wing’.

“Sekiranya kes tersebut tidak diselesaikan secepat mungkin, mangsa akan dikenakan tindakan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk membuka akaun di Bank Islam dan memasukkan sejumlah wang ke akaun tersebut.

Katanya, mangsa yang mempercayai suspek telah mengeluarkan wang simpanan daripada akaun ASB dan memasukkan sejumlah wang ke akaun Bank Islam, seterusnya mendaftar emel dan nombor telefon milik suspek untuk perbankan dalam talian akaun tersebut.

“Lelaki itu hanya menyedari telah ditipu setelah mendapati akaun hanya berbaki RM388. Dimaklumkan wang berjumlah rm209,800 telah dipindahkan ke dua akaun individu yang tidak dikenali melalui sembilan transaksi antara 16 dan 17 November lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu Batholomew menasihati orang ramai agar tidak mudah panik atau cemas sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali yang mendakwa dari mana-mana jabatan kerajaan institusi kewangan, syarikat insuran syarikat penghantaran dan sebagainya.

Suara Sarawak