KUCHING: Majlis Profesor Negara (MPN) menyelar tindakan gerakan Profesor Melayu G70 yang menggunakan gelaran tersebut walaupun sebahagian besar daripada mereka sudah bersara.

Presiden MPN Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pihaknya menyedari terdapat
gerakan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Profesor Melayu G70.

Malah katanya, gerakan ini juga telah mengadakan Sidang Media Khas untuk menyatakan pendirian serta mengeluarkan satu deklarasi menyokong pihak tertentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

“Berkaitan perkara itu, MPN ingin menegaskan bahawa kami tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam tindakan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Menjelas lanjut katanya, MPN juga mendapati daripada 70 orang yang menggelarkan diri sebagai Profesor Melayu G70 itu terdapat sejumlah besar daripada mereka telah berpencen.

Mereka ini jelasnya tidak lagi boleh menggunakan gelaran Profesor kecuali jika dilantik sebagai Profesor Emeritus dan ahli kepada pergerakan tertentu

MPN merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang bertujuan menggembleng kepakaran akademik tertinggi negara bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Ketika ini, MPN mempunyai lebih 3,000 ahli penuh yang merupakan Profesor dari Universiti Awam dan Swasta serta lebih 7,000 Profesor Madya sebagai Ahli Bersekutu.

“Terdapat juga lebih 200 tokoh industri yang pakar dalam bidang masing-masing dipelawa menyertai MPN sebagai Ahli Kehormat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa MPN ingin menyatakan pendirian untuk menghormati hak individu, termasuk para profesor bagi mempunyai hak kebebasan bercakap dan bersuara, mengeluarkan pendapat serta buah fikiran serta berpersatuan selaras Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili para ilmuwan tertinggi negara, MPN sentiasa beriltizam dan berusaha untuk memberikan sumbangan kepakaran akademik para ahlinya dalam setiap bidang melalui saluran dan tatacara yang ditetapkan selaras dengan statusnya sebagai Pemikir Negara,” tegasnya.

Terdahulu, terdapat sekumpulan 70 ahli akademik yang menggelarkan diri mereka sebagai G70 serta mendukung Pakatan Harapan (Harapan) sebagai pilihan terbaik pengundi untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi.

Deklarasi Profesor Melayu dalam kenyataan juga mengumumkan kumpulan tersebut turut memilih Pengerusi Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Suara Sarawak