Pandangan udara SK Pangkalan Kuap yang sudah siap dibina dan bakal dibuka tahun hadapan.

KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan adalah kunci penyelesaian kepada masalah kesesakan pelajar di kawasan ini.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, sekolah baharu ini bakal memecahkan jumlah pelajar yang sudah padat di dua buah sekolah sedia ada.

“Saya sudah lama berazam dan berusaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan pelajar di SMK Muara Tuang dan SMK Kota Samarahan yang menjadi keluhan selama ini.

“Alhamdulillah, projek SMK Sri Samarahan ini sudahpun diluluskan pada 2018 dan proses pembinaan sudah bermula,” katanya ketika ditemui semasa melawat tapak pembinaan SMK Sri Samarahan di hari ini.

Tambahnya, sekolah ini bakal menempatkan seramai 1,500 pelajar dari kawasan Desa Ilmu dan kawasan perkampungan meliputi Kampung Meranek hingga Kampung Mata Parang.

Menurut beliau, sekolah yang diusahakannya sejak 2016 ini bukan sahaja memberikan manfaat dan keselesaan kepada para pelajar, malah juga kepada ibu bapa.

“Sekolah yang menelan belanja sebanyak RM53.7 juta ini terletak berhampiran Kampung Meranek dan Kampung Empila dan bakal mempunyai 47 buah bilik kelas.

“Ibu bapa di kawasan ini tidak perlu lagi runsing untuk menghantar anak-anak mereka ke asrama kerana sekolah ini lebih dekat dan selesa,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai SMK Muara Tuang, Rubiah memaklumkan sejumlah RM72 juta telah diperuntukkan untuk projek gantian penuh sekolah ini.

“Projek yang dijangka akan bermula pada hujung tahun ini bertujuan untuk membina semula atau menggantikan bangunan sekolah ini yang sudah lama dan uzur.

“Ini bagi memastikan para pelajar dan guru-guru di sekolah ini dapat menjalankan sesi pembelajaran dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Rubiah turut menyatakan bahawa pembinaan SK Pengkalan Kuap yang menelan belanja sebanyak RM33 juta sudah siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada tahun hadapan.

BERCAKAP… Rubiah bercakap ketika ditemui di tapak pembinaan SMK Sri Samarahan.

Suara Sarawak