KUCHING: Masalah projek sakit di negeri ini dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tanpa mendedahkan jumlah keseluruhan projek terbengkalai, kata Uggah Kerajaan Sarawak komited dalam usahanya menangani isu berkenaan dengan drastik.

“Ia termasuk menggantikan kontraktor lama yang berdepan masalah dengan melantik kontraktor baharu dalam kadar segera.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Fazzrudin ketika melawat projek pembesaran serta naik taraf Jalan Matang di Kuching, hari ini.

“Kerja-kerja pembinaan tidak susah untuk dilakukan tetapi mungkin ada sebab-sebab tertentu kenapa kontraktor tidak dapat melakukannya.

“Jadi inilah langkah proaktif yang kerajaan ambil terhadap projek sakit, saya tidak memberitahu berapa jumlahnya tetapi sekarang kita mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat projek pembesaran dan naik taraf Jalan Matang di Kuching, hari ini.

Tegasnya, langkah tersebut penting untuk memastikan bahawa semua projek yang dikategorikan sebagai sakit akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Tambah Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) ia penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan siap dalam tempoh yang ditetapkan sekali gus memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Mengulas mengenai projek naik taraf dan pembesaran Jalan Matang, Uggah berkata ia merupakan salah satu daripada projek sakit.

Namun ketika ini, Kerajaan Sarawak telah melantik kontraktor baharu bagi melaksanakan projek terbengkalai yang melibatkan jalan sepanjang 4.4 kilometer dari Jalan Matang sehingga simpang Jalan Matang-Batu Kawah yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Projek naik taraf dan pembesaran itu melibatkan kerja-kerja pemasangan 70 lampu jalan serta melebarkan jalan kepada dua laluan tambahan.

Suara Sarawak