Doris ditemani penyokongnya pada hari penamaan calon Parlimen Sri Aman, hari ini.

SRI AMAN: Datuk Masir Kujat berhadapan dengan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman bagi penggal keempat.

Beliau yang kali ini bertanding sebagai calon Bebas menggunakan logo Pokok bakal ditentang oleh Datuk Sri Doris Sophia Brodi daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Wilson Entabang atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Tay Wei Wei mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pertembungan empat penjuru itu pasti menyukarkan Masir untuk mempertahankan kerusi tersebut apatah lagi calon GPS daripada parti komponennya, PRS bukan calang-calang.

Doris merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, beliau dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara pada 26 Januari 2012 dan mencipta sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai senator mewakili Sarawak pada 12 Mac 2010.

Terdahulu ketika penamaan calon Parlimen Sri Aman bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman hari ini, ribuan penyokong keempat-empat calon hadir dengan penuh semangat membawa bendera masing-masing sambil melaungkan slogan parti.

Untuk rekod, Sri Aman adalah kerusi tradisi PRS yang sebelum ini disandang oleh Masir yang memenangi kerusi itu pada PRU-14 bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 5,820 undi selepas memperoleh 14,141 undian.

Sekali gus mengalahkan Norina Umoi Utot daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya mendapat 8,321 undi dan Cobbold Lusoi daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru yang memperoleh 538 undi.

Masir bagaimanapun kemudian bertindak keluar parti tersebut pada Mac 2019 untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) tetapi juga meninggalkan parti pada Mac tahun ini.

 

 

Suara Sarawak