BETONG: Golongan belia khususnya di kawasan pekan Spaoh, kini tidak perlu memikirkan tempat untuk beriadah mahupun bersukan.

Apakan tidaknya, pekan yang masih mengekalkan latar belakang perkampungan tradisi sudah mempunyai tempat khusus bagi kedua-dua tujuan tersebut.

Kompleks Sukan Spaoh dan Riverfront Spaoh merupakan hadiah amat berharga kepada masyarakat di kawasan berkenaan daripada Kerajaan Sarawak.

MERCU TANDA BAHARU… Kompleks Sukan Spaoh.

“Pastinya memberi keterujaan kepada masyarakat terutama kampung-kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban dengan adanya kemudahan tersebut.

“Tempat yang disediakan ini akan akan dapat memberi keselesaan kepada mereka yang mahu melakukan atau menganjurkan aktiviti riadah dan sukan,” kata Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban Kaunselor Abang Suhordie Abang Zaini ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Abang Suhordie, beliau percaya tersedianya kemudahan sedemikian mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat.

“Dengan wujudnya kemudahan ini, tiada masalah untuk menganjurkan aktiviti sukan sama ada dalam skala kecil mahupun besar selepas ini.

“Malah, tidak mustahil kawasan DUN Bukit Saban mampu melahirkan jaguh sukan yang baharu pada masa akan datang,” tambahnya ringkas.

Suara Sarawak