BERSEMANGAT…Pemain Kuching ketika menjalani latihan.

KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC (KC FC) Irfan Bakti Abu Salim melihat tiada yang mustahil untuk anak-anak buahnya mengubah keputusan bagi memastikan kemaraan ke separuh akhir kempen Piala Malaysia 2022.

Lantaran, perlu menang pada aksi suku akhir kedua menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.

Meskipun, di atas kertas tuan rumah mempunyai kelebihan selepas berjaya mencatat kemenangan tipis (1-0) pada suku akhir pertama di Kuching, minggu lepas.

“Masing-masing berpeluang untuk mara, dan fokus kami malam esok bermain habis-habisan agar kemenangan dapat diperoleh,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Irfan, tiada perubahan besar membabitkan posisi pemain yang akan menghiasi percaturan untuk menghadapi gelora dari wakil Liga Super itu.

Malah, pengemudi berpengalaman itu masih mempercayai keupayaan barisan kesebelasan yang sama tempoh hari.

“Mungkin berlaku perubahan pemain, tetapi ia berskala kecil di posisi tertentu sahaja.

“Apa yang pasti, saya akan menurunkan kesebelasan terbaik malam esok,” tambah Irfan lagi.

Suara Sarawak