Abang Johari dan Royston menyaksikan Pertandingan Bidar Lukut di padang Kampung Tellian dalam Program Sarawakku Sayang pada Khamis.

MUKAH: Program Sarawakku Sayang anjuran kerajaan negeri bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ memulakan jelajah pertamanya ke seluruh Sarawak, dengan Mukah sebagai lokasi pertama.

Adun Tellian Royston Valentine mengakui ia satu penghormatan apabila Kampung Tellian Mukah yang berada di dalam kawasan Dun Tellian dipilih sebagai lokasi pertama daripada 10 lokasi yang telah ditetapkan.

Ujarnya, program yang sama akan diadakan di Sibu, Engkelili dan Lingga di Sri Aman, Kampung Long Tuma di Limbang, Telaga Air dan Seniawan di Kuching, Sadong Jaya di Samarahan, Tatau di Bintulu dan Kalaka di Betong.

“Jelajah Program Sarawakku Sayang ini bertujuan untuk mendekatkan kerajaan dengan masyarakat dalam memberi akses tentang khidmat dan dasar kerajaan dengan lebih jelas.

“Ia disampaikan melalui pameran-pameran yang diadakan oleh Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak serta kementerian-kementerian yang bersangkut-paut secara terus dengan keperluan rakyat,” katanya berucap dalam Program Sarawakku Sayang, di sini, pada Ahad.

Katanya ia juga sebagai salah satu platform pemudah cara untuk menyampaikan agenda dan pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak dalam merancang pembangunan sosioekonomi dan seterusnya membentuk pelan-pelan pembangunan bagi mencapai matlamat kerajaan Sarawak maju menjelang tahun 2030.

Mengimbau kembali lebih 20 tahun Mukah menjadi Bahagian pada 1 Mac 2002 lalu katanya, Mukah diakui telah melalui fasa pembangunan yang pelbagai hasil usaha kepimpinan yang terdahulu.

“Antara nikmat pembangunan yang kita rasai termasuk kelengkapan infrastruktur asas, pembangunan fizikal, perkembangan sosioekonomi dan lain-lain melalui inisiatif kerajaan Sarawak sejak sekian lama,” katanya ringkas.

Suara Sarawak