KUCHING: Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia akan bermula lebih awal daripada yang dijangka

Ia dijangka akan berlaku bermula 7 November 2022 dan berterusan sehingga Mac 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam satu kenyataan berkata, empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku sepanjang tempoh ini.

“Seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi kejadian air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh 6 hingga 11 dan 22 hingga 27 November 2022, 7 hingga 12 dan 22 hingga 26 Disember 2022 dan 6 hingga 10 dan 21 hingga 25 Januari 2023.

“Semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Antaranya melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial MET Malaysia (Facebook, Twitter dan Instagram).

“Orang ramai juga boleh menghuhungi talian hotline MET Malaysia di talian. 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” ujarnya.

Suara Sarawak