KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri optimis dalam membawa pembangunan berterusan di kawasan pinggir bandar.

Nancy yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, aspek pelancongan di kawasan Parlimen Santubong dilihat mempunyai tarikan tersendiri.

Jolok… Calon GPS Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri ketika ditemui media selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Sri Melati IKM, Kuching.

Mengakui kawasan berkenaan memiliki potensinya tersendiri namun masih memerlukan peningkatan dari segi pembangunan untuk sektor pelancongan atau dengan erti kata lain ia merupakan kawasan ‘Tourism Belt’.

“Saya harap selepas ini saya bawa lebih banyak pembangunan dari segi pelancongan, budaya dan seni di kawasan Parlimen ini,” katanya.

Senyum… Nancy Shukri bergambar bersama penyandang Santubong P193, Datuk Seri Dr Wan Junaidi

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon bagi Parlimen Santubong di Dewan Sri Melati IKM Kuching di sini semalam.

Bercakap mengenai cabaran pilihan raya, Nancy berkata tiada yang mudah dalam setiap pilihan raya terutama kawasan yang memiliki ramai pengundi.

Tiga calon Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri GPS (kanan), Affendi Jeman Bebas (tengah), Mohamad Zen Peli PH (kiri) akan berentap dalam perlawanan tiga penjuru pada PRU-15.

Seperti di Santubong, katanya kini mempunyai lebih 79,000 pemilih berdaftar termasuk pengundi baharu.

“Jadi ini merupakan salah satu cabaran bagi kita (GPS), jadi kita sangat mengharapkan sokongan kepada GPS kerana ia telah terbukti bahawa GPS telah berjaya membawa kejayaan di Parlimen untuk negeri Sarawak,” katanya.

Berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri lalu, kata Nancy, GPS telah berjaya membuktikan kejayaan besar dengan 76 daripada 82 kerusi yang ditandingi.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai sekali lagi sekali gus merealisasikan misi menang semua 31 kerusi.

Beliau turut berterima kasih kepada penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi kerana banyak menyumbang kepada pembangunan di kawasannya serta negara.

“Saya berharap agar sokongan yang pernah diberikan kepada Datuk Wan sebelum ini dapat juga diberikan kepada saya untuk terus memastikan kawasan ini kekal sebagai kubu kuat GPS.

“Saya sedar bahawa kasut yang ditinggalkan oleh Datuk Wan amat besar untuk diisi, namun saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Kerusi Parlimen Santubong menyaksikan pertandingan tiga penjuru Datuk Seri Nancy Shukri dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) calon Bebas Calon Bebas, Affendi Jeman dan calon AMANAH, Mohamad Zen Peli.

Suara Sarawak