BELIA Sarawak diingatkan untuk tidak mengamalkan sikap sambil lewa atau tunggu dan lihat berhubung perkara yang akan berlaku kepada masyarakat, negeri dan negara terutama sekali dalam era pascapandemik-Covid-19.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bersyukur golongan belia Sarawak menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar harapan bangsa, tetapi mereka juga adalah aset penting dan rakan kongsi kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara.

“Justeru, penyertaan golongan belia kita dalam pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak akan turut memberi semangat dan dorongan kepada pihak kementerian serta agensi terbabit.

“Kami akan terus gigih berusaha menyediakan perancangan strategik, termasuk pembangunan dasar, pelan tindakan, pelaksanaan program dan aktiviti yang disusun rapi pada masa yang akan datang,” katanya.

Tambahnya, belia juga diharapkan terus maju ke hadapan, sekali gus berusaha untuk menambah baik jati diri mereka.

“Saya amat gembira dengan sokongan dan sambutan yang menunjukkan belia kita komited dan bersemangat tinggi sebagai pewaris masa hadapan Sarawak serta negara Malaysia,” ujarnya.

Suara Sarawak