KUCHING: Polis menerima dua laporan pada semalam berhubung sebuah papan iklan parti politik dicabut dan dibawa lari oleh orang yang tidak dikenali.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, kejadian dilaporkan di Tebedu dan Serian membabitkan papan iklan yang telah hilang di tempat asal ia dipasang.

Sehubungan itu katanya, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan curi.

“Selain itu, polis turut membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimeda 1998/ Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu menerima sumbangan berupa wang yang telah ditular dalam aplikasi Facebook.

“Kesalahan iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian/ penyogokan, kejadian berlaku di Lundu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, polis pada semalam telah meluluskan sebanyak 265 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh Sarawak.

Justeru katanya, polis menasihatkan parti-parti politik yang bertanding supaya mengingatkan penyokong masing-masing untuk tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

 

Suara Sarawak