KUCHING: Jaguh renang negara Fridden Dawan, 35 berjaya menghadiahkan pingat emas buat Sarawak dalam acara kegemarannya 50 meter gaya bebas lelaki (S10).

Pada saingan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi, ia menyaksikan anak jati kelahiran Bintulu itu berjaya mencatat masa terpantas dengan 30.83 saat.

PUAS HATI…Fridden Dawan.

Beliau berjaya mengatasi dua pesaing terdekat iaitu Razak Tambi dari Terengganu (32.13 saat) selaku pemenang pingat perak dan Muhd. Farouq Mohd. Hasim dari Melaka (36.29 saat) selaku pemenang pingat gangsa.

Menzahirkan kegembiraanya, beliau teruja dengan kejayaannya menyumbang pingat emas untuk Sarawak.

“Apa yang saya harap jelmaan pingat ini akan mencetus semangat kepada rakan-rakan yang lain selepas ini,” katanya ketika ditemui Arena Suara Sarawak selepas majlis penyampaian pingat.

Menurut Fraidden, ada dua lagi acara melibatkan dirinya esok iaitu 100 meter gaya bebas dan acara berpasukan 4X100.

Suara Sarawak