SIBURAN: Tiga parti iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pakatan Harapan (PH) bakal berentap dalam merebut kerusi Puncak Borneo untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Daripada tiga calon yang bertanding ini, calon dari PBK Tomson Ango telah mengubah keputusannya saat akhir dengan memberi laluan kepada Iana Akam dari PSB untuk bertarung di kerusi itu.

Iana, 47, tiba bersama Tomson selaku pencadang dan penyokong Warick Mandes antara yang terawal tiba di pusat penamaan calon Pejabat Daerah Siburan kira-kira jam 7.45 pagi.

SEDIA BERTANDING…Ranum (tiga kiri) mengumumkan calon yang bertanding di Parlimen Puncak Borneo. Turut kelihatan calon yang bertanding, Iana (empat kiri), Willie (lima kiri) dan Diog (enam kiri).

Sementara calon PH, Diog Dios tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

Diog, 55 tahun diiringi Chang Hon Hiung selaku pencadang dan Michael Kanai selaku penyokong.

Kemudiannya ia disusuli ketibaan calon GPS Puncak Borneo yang juga penyandang kerusi tersebut, Datuk Willie Mongin kira-kira jam 9.09 pagi.

Willie diiring pencadang, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, penyokong, Timbalan Menteri Pengangkutan (Darat dan Udara) Datuk Dr Jerip Susil serta Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miro Simuh.

Dalam pada itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Puncak Borneo Ranum Bari mengumumkan kesemua pencalonan pada jam 12.10 tengah hari

Katanya, Iana mengemukakan kertas penamaan pada 9.03 pagi diikuti Diog pada jam 9.21 pagi dan Willie pada jam 9.36 pagi.

Jelasnya, setelah menyemak kesemua kertas penamaan calon, tiada calon ditolak kertas penamaan.

Suara Sarawak