Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian

KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membelanjakan sebanyak RM61.71 juta atau 47.02 peratus peruntukan yang disalurkan Kerajaan Sarawak untuk pelaksanaan pelbagai projek.

Menterinya Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, ia daripada keseluruhan RM131.25 juta peruntukan disalurkan untuk 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan projek pada tahun ini.

“Sehingga 3 November tahun ini, RM61.71 juta telah dikeluarkan untuk 218 projek infrastruktur seperti penambahbaikan jalan dan saliran, penambahbaikan kawasan pantai, menaik taraf pasar, penyediaan lampu jalan, lampu isyarat, tandas awam, perpustakaan awam, pengindahan bandar dan juga kemudahan luar bandar.

“Kesemua projek tersebut sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambah Timbalan Premier Sarawak itu, bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kementeriannya diperuntukkan sebanyak RM97.5 juta pada tahun 2021 yang terdiri daripada 716 projek dan RM123.4 juta pada tahun ini yang merangkumi 830 projek.

“Sehingga kini, 572 dan 102 projek telah disiapkan masing-masing pada 2021 dan 2022. Baki 144 dan 728 projek untuk 2021 dan 2022 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan.

“Sementara itu, pada 2018 sebanyak Kerajaan Sarawak meluluskan 314 projek dengan peruntukan RM1.81 bilion. Manakala pada 2022, terdapat 14 projek diluluskan dengan nilai keseluruhan RM224.6 juta.

“Projek-projek ini dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan. Sehingga kini, 188 projek telah disiapkan dan 126 sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” ujarnya

Suara Sarawak