DEBAK: Pecutan terakhir untuk berkempen perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin di segenap kawasan Parlimen Betong, kata Adun Saribas, Mohamad Razi Sitam.

Katanya, pendekatan tersebut amat penting bagi memastikan masyarakat terutama pengundi tidak termakan hasutan pembangkang disaat akhir.

“Walaupun proses berkempen untuk calon GPS Parlimen Betong, Dr Richard Rapu memasuki saat akhir, kita tidak mahu leka sesaat pun kerana blok pembangkang sentiasa mengintai peluang untuk melakukan serangan disaat akhir.

BERCAKAP…Mohamad Razi Sitam.

“Justeru jentera gerakan sentiasa siap siaga bagi tujuan tersebut supaya tidak timbul sebarang masalah yang boleh memberi impak kelak,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Dalam perkembangan sama, Razi turut mengingatkan pengundi untuk turun menunaikan tanggungjawab mereka Sabtu ini.

“Tunaikan tanggungjawab anda pada hari pengundian sebenar nanti. Saya percaya anda semua pengundi yang matang dan mampu membuat pilihan yang tepat,” tambah beliau lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), P.204 Betong menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS, Dr Richard Rapu; Patrick Khamis (PH) dan Hasbie Haji Satar (Bebas).

Suara Sarawak