MARUDI: Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menerbangkan baki peti undi ke 18 pusat mengundi hari ini bagi kawasan Baram.

Dilaporkan semalam cuaca buruk telah melambatkan pengangkutan peti undi ke pusat mengundi di Baram.

Pekerja SPR dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Marudi selama dua hari.

Menurut pegawai pengurus pilihan raya (RO) Parlimen Baram, Belayong Pok, SPR akan mengangkut peti undi ke 18 pusat mengundi pagi ini.

“Sebanyak 176 peti undi telah diangkut tanpa sebarang halangan sebelum ini ke pusat pengundian,” katanya ketika dihubungi.

Baram mempunyai sejumlah 194 pusat mengundi.

Baram merupakan kawasan pilihan raya terbesar di Sarawak dari segi keluasan tanah.

Parlimen Baram menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan Anyi Ngau daripada Gabungan Parti Sarawak(GPS), Roland Engan (Pakatan Harapan) dan Wilfred Entika Eebai (Bebas).

Suara Sarawak