KUCHING: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sarawak sudah menghantar cadangan kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan pelaksanaan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 di Sarawak.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) merangkap bekas Anggota SSM Datuk Abdullah Saidol berkata, ia sudah diterima dan akan dikaji.

“Peguam kerajaan akan meneliti cadangan yang dihantar, melihat kepada pelbagai aspek berhubung perkara tersebut.

(kiri) Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Nanta, Abdullah dan lain-lain ketika sesi lawatan di pejabat baharu SSM Sarawak.

 

“Kita perlu berhati-hati kerana ia melibatkan perlindungan hak, tapi pada masa sama kita juga akan melihat dari sudut minat komuniti yang menjalankan perniagaan.

“Ia bagi memastikan cadangan tersebut dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Pejabat SSM Negeri Sarawak, di perkarangan bangunan SSM Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut memberitahu bahawa Akta tersebut penting kerana dapat memberi pelbagai manfaat kepada perniagaan di Sarawak.

“Akta tersebut tidak merangkumi Sarawak dan Sabah sejak dahulu lagi, jadi kita berusaha untuk memastikan ia boleh diguna pakai di kedua-dua buah negeri ini,” ujarnya.

Suara Sarawak