LUNDU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi menyifatkan agenda pembangunan yang dirancang Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah disusun rapi.

Beliau berkata, ia membuktikan GPS mempunyai hala tuju dan ikhlas berkhidmat kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di negeri ini dapat memastikan GPS menang di semua 31 kerusi Parlimen termasuk Datuk Seri Nancy Shukri di Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita mahu calon yang ditampilkan menang dengan majoriti selesa agar dapat menjadi suara kepada rakyat Sarawak di peringkat Persekutuan.

“Melalui kemenangan ini, kita juga dapat menuntut lebih banyak hak Sarawak yang terhakis seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Kampung Metang Terap, Lundu, di sini hari ini.

Tambahnya, sokongan padu komuniti setempat sangat diperlukan dalam memastikan kejayaan besar GPS sekali gus meneruskan agenda pembangunan yang dirancang.

“Demi memperjuangkan hak negeri dan rakyat Sarawak, kita perlu bekerjasama agar calon GPS dipilih di peringkat Parlimen kelak.

“Jalankan tanggungjawab masing-masing pada 19 November ini dan pastikan semua 31 kerusi tersebut dimenangi GPS dengan bergaya,” ujarnya.

Sementara itu, kerusi Parlimen Santubong menyaksikan GPS mempertaruhkan Nancy bagi menggantikan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bersara.

Suara Sarawak