KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengemukakan cadangan masyarakat mengenai gabungan pembentukan kerajaan kepada kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk perbincangan.

Setiausaha Publisiti dan Penerangannya Adam Yii berkata, ia susulan sejak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), barisan pemimpin SUPP termasuk presiden telah menerima banyak mesej mengenai cadangan potensi gabungan bagi membentuk kerajaan.

“SUPP merakamkan terima kasih kepada semua rakyat Sarawak yang prihatin dan akan membawa cadangan tersebut serta menyuarakan kebimbangan masyarakat kepada pemimpin tertinggi GPS untuk perbincangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, keputusan PRU tersebut telah menyebabkan Parlimen negara tergantung kerana tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan sekali gus menyebabkan rakyat bimbang.

“Sebagai parti berbilang kaum sejak 1959, kami sentiasa mengekalkan keterbukaan terhadap kepelbagaian budaya dan agama sebagai sumber kekuatan.

“Kita mesti menggalakkan semangat penerimaan kepada idea-idea baharu dalam kalangan rakyat demi masa depan Sarawak yang bergantung kepada asas sosial ini.

“Namun dalam masa yang sama, rakyat hendaklah terus tenang dan sabar ketika situasi yang tidak menentu dan mencabar ini demi kesejahteraan Sarawak,” ujarnya.

Sehingga hari ini, selepas lima hari PRU-15, Malaysia masih belum melantik Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu dalam satu perjumpaan khas di Istana Negara, pada 10.30 pagi ini berhubung perkara tersebut.

Suara Sarawak