Gambar hiasan

KUCHING: Padah melakukan rompak berkumpulan sebuah kedai makan menggunakan sebilah samurai, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 20 tahun dari Kampung Sri Maimunah selepas pendengaran laporan sosial yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat serta penghujahan daripada pihak pendakwaan.

Pada 25 Oktober lepas, di hadapan Hakim Maris Agan, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Justeru itu, mahkamah menetapkan hari ini sebagai pendengaran laporan sosial terhadap pesalah muda itu dan seterusnya menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama rakannya yang masih bebas mengunakan sebilah samurai dengan mengacukan kepada mangsa perempuan berusia 23 tahun di Moyan, Jalan Batu Kawa, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi, pada 4 Oktober lepas.

Semasa penghujahan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana perlu mengambil kira berat kesalahan yang dilakukan selain mempunyai beberapa kes yang hampir sama menggunakan senjata samurai ketika melakukan kesalahan.

Selain itu, hukuman untuk menghantar ke sekolah Hendry Gurney adalah tidak sesuai kerana usia pesalah muda itu mencecah 21 tahun dalam tempoh empat bulan akan datang.

Oleh itu, Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan berat kesalahan yang dilakukan oleh pesalah muda itu selain mengambil kira kepentingan awam.

Pengadu kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya tertuduh berjaya ditangkap polis pada 17 Oktober lalu.

Suara Sarawak