KUCHING: Penganjuran semula acara pelancongan secara aktif di Sarawak bukan sahaja berjaya menarik kehadiran lebih ramai pelawat malah menjana ekonomi untuk komuniti setempat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk itu pihaknya akan terus bekerjasama dan menyokong agensi serta pemain industri dalam menjayakan pelbagai acara pelancongan di negeri ini.

Mengambil kira pencapaian Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022, katanya ia telah memberikan impak yang positif dan memberangsangkan.

“Jumlah kehadiran pengunjung melebihi daripada jangkaan, ia membuktikan bahawa pemulihan sektor pelancongan Sarawak ke arah yang positif.

“RWMF 2022 tahun ini berjaya merekod kehadiran seramai 16,049 orang sepanjang festival, manakala menerusi capaian digital RWMF dan BJ 2022 telah memperoleh sejumlah lebih 27.43 juta dengan lebih 67,000 klik unik direkodkan sepanjang kempen dengan kumpulan umur 25 hingga 45 tahun berjumlah 88 peratus,” katanya.

Tambah Abdul Karim kementeriannya turut menyokong program muzik yang lain termasuk Borneo Jazz di Miri yang diadakan selepas RWMF 2002 telah berjaya menarik kehadiran 3,817 pengunjung.

“Lebih menarik, apabila penganjuran sulung Festival Muzik Borneo yang menampilkan artis antarabangsa, Alan Walker dan DJ Soda berjaya menghimpunkan lebih 14,000 pengunjung,” jelasnya.

Dalam usaha menyokong pelancongan sukan, Abdul Karim memberitahu beberapa acara sukan antarabangsa seperti The Kuching Marathon diadakan pada Oktober lepas telah menarik 10,000 pengunjung termasuk peserta tempatan dan luar negara.

Menurut Abdul Karim, penganjuran semula Miss World Tourism 2022 kembali ke bumi Sarawak selepas 25 tahun juga telah menarik penyertaan lebih 40 negara.

Untuk rekod pada 2022, kementeriannya setakat ini telah menyokong 123 program dan festival seluruh negeri dengan geran berjumlah RM29,310,549 termasuk industri kreatif seperti filem, telemovie, dokumentari dan video muzik.

Suara Sarawak