KUCHING: Sejumlah 12 pusat mengundi bagi Parlimen Baram, Sarawak dibuka untuk proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini, selepas ia ditangguhkan sebelum ini berikutan cuaca buruk dan banjir.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata waktu mengundi bermula dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari atau 2 petang, bergantung kepada pusat mengundi masing-masing.

Antara pusat mengundi yang disenaraikan katanya adalah SK Long Naah (Stesen 1 dan 2); SK Long Moh (Stesen 1 dan 2);  SK Long Luteng (Stesen 2);
Rh Tk Matthew Belulok Lalo Kpg Lepo Gah (Stesen 1 dan 2) dan SK Long Sait (Stesen 2); SK Long Tungan (Stesen 1 dan 2) dan SK Long Mekabar (Stesen 1).

“Pusat pengundian yang turut dibuka adalah SK Long Jekitan (Stesen 1 dan 2); SK Long Lamei (Stesen 2); SK Lio Mato (Stesen 1 dan 2); SK Long Banga (Stesen 1 dan 2) dan Rh Tk John Jau Wan Lg Semiang (Stesen 1),” katanya.

P220 Baram yang mempunyai 59,535 pengundi yang layak adalah satu-satunya kerusi parlimen di Sarawak yang belum diumumkan keputusan rasmi.

Parlimen Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Anyi Ngau dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roland Engan dari Pakatan Harapan dan calon Bebas Wilfred Entika.

Suara Sarawak