MUKAH: Adun Tellian Royston Valentine tiba sekitar jam 7.30 pagi untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Mukah di sini, hari ini.

Royston hadir bersama-sama ibu Sii Pan Weo,55, dan neneknya Lindang Serun yang berusia 82 tahun.

Menurutnya, cuaca cerah hari ini akan meningkatkan kehadiran pengundi.

“Kelihatan pengundi bersemangat dan berlaku sedikit kesesakan dalam barisan, cuaca juga baik.

“Di Sekolah Kebangsaan Agama MIS Mukah ini seramai 2,077 pengundi akan hadir dan jika dapat diselesaikan awal pusat pengundian berkenaan akan ditutup awal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau melahirkan keyakinan peratusan keluar mengundi bagi Parlimen Mukah meningkat kali ini.

“Kita juga dapat ramai pengundi muda hadir menunaikan tanggungjawab dan ia petanda baik,” ujarnya.

Kerusi Parlimen Mukah menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Hanifah Hajar Taib dengan Abdul Jalil Bujang yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Suara Sarawak