SARIKEI: Usaha untuk terus memperkasa bidang pendidikan, kebajikan serta pembangunan di Sarikei menjadi fokus utama calon GPS, Datuk Sri Huang Tiong Sii andaikata berjaya memenangi kerusi bagi kawasan P.208 Sarikei pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sekali gus, meletakkan Sarikei terus pesat membangun mencakupi tiga bidang utama terbabit pada masa akan datang.

“Memperkasa bidang pendidikan, menitik berat kebajikan umum serta terus memperkasa pembangunan di Sarikei adalah fokus utama kita.

“Saya yakin pengalaman selama dua penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repok, memberi kelebihan kearah merealisasi impian tersebut,” ujar Huang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Cina Bersatu Sarikei di Dewan Sentral Sarikei malam tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut Adun Maradong,  Datuk Ding Kuong Hiing serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Menurut Huang, Sarikei kini jauh membangun dan mengajak masyarakat menilai sendiri perubahan yang berlaku.

“Sarikei telah banyak berubah. Sama ada dari pembangunan infrastruktur, pendidikan anak-anak dan kebajikan rakyat.

“Justeru, saya menyeru dan memohon kepada pengundi di kawasan P.208 agar membuat pilihan yang bijak pada hari pengundian nanti,” tambah beliau.

Ia bagi memastikan GPS dapat merampas balik kerusi bagi kawasan P.208 Sarikei itu.

Suara Sarawak