BINTULU: Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 314 peniaga di Kapit telah berjaya didaftarkan di bawah program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI),

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, program tersebut diadakan bagi memastikan peniaga kecil di luar bandar ini tidak terus ketinggalan dalam arus perdana dan melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital.

Datuk Sri Alexander menyampaikan bantuan bank makanan kepada salah seorang penerima semasa Program Pendayaupayaan Pengguna di Song, Kapit, hari ini

Katanya, inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna dan peniaga dalam tiga aspek iaitu mudah, cepat dan selamat.

“Kementerian juga telah bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM18,000 kepada 600 pengguna dan 200 peniaga bagi melaksanakan program insentif baru secara tanpa tunai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Program Pendayaupayaan Pengguna melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), Food Bank, Sara Hidup, eVoucher PJM dan Program Usahawan Muda (PUM) di Song, hari ini

Katanya, program itu merupakan salah satu inisiatif dalam menyahut misi kerajaan dan kementerian untuk memastikan pengguna mendapat pendidikan kepenggunaan yang sewajarnya.

Suara Sarawak