Tiong (tengah) diapit Naib Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep (kiri) dan calon Parlimen Mas Gading Lidang Disen (kanan) ketika ditemu bual wartawan. FOTO: Ghazali Bujang

LUNDU: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing mendedahkan calon bagi kerusi Saratok Perikatan Nasional (PN) Ali Biju ingin bertanding di bawah tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya parlimen selepas pembubaran parlimen.

Mengulas lanjut, Tiong berkata selepas Ali memungkiri janji untuk bertanding di Saratok di bawah tiket GPS, Ali berjumpa dengannya semula menyatakan hasrat untuk bertanding di bawah tiket GPS melalui PDP.

“Tetapi, kami terpaksa menolaknya kerana sudah terlambat ketika itu. Sebagai Presiden PDP, kita perlu memberi cadangan awal dan memberitahu rakyat siapa calon kita.

“Sebagai presiden parti juga, saya tidak boleh menukar calon pada saat-saat akhir melainkan calon itu mempunyai masalah besar,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Bersantai Bersama Rakyat di Dewan Kampung Pasir Hulu, di sini, hari ini.

Tiong turut berkongsi bahawa sebelum ini, beliau pernah menawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ali Biju tetapi Ali menolaknya kerana mahukan kerusi Parlimen.

“Hasil perbincangan, kami berakhir dengan dia menukar baju GPS. Tetapi, apabila dia terbang pulang ke Kuala Lumpur, dia berubah fikiran dan memutuskan untuk bertanding di bawah tiket BERSATU.

Ketika ditanya apakah punca utama Ali berubah fikiran, beliau menyatakan ia mungkin disebabkan janji yang ditawarkan PN untuk memberikannya portfolio Timbalan Perdana Menteri (TPM) jika beliau kekal dalam BERSATU dan memenangi PRU-15 ini.

“Saya beritahu dia jangan fikir lagi nak jadi TPM sebab kita masih belum tahu parti mana yang akan mentadbir negara. Jika PN tidak memenangi pilihan raya ini, bagaimana hendak menjawat jawatan TPM?

“Namun begitu, beliau berkeras untuk bersama BERSATU dan memutuskan untuk menjadi calon di bawah GPS hanya selepas pembubaran parlimen, namun sudah terlambat,” katanya.

Suara Sarawak