KEKAL FOKUS…Atlet boling padang Para Sukma Sarawak, Mohamad Shukri Twkino bersemangat melakukan balingan ketika memulakan saingan dalam kategori Perseorangan Lelaki B7.

KUALA LUMPUR: Permulaan baik buat kem boling padang Para Sarawak pada hari pertama di temasya Sukan Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022.

Beberapa atlet turun dalam acara yang dipertandingkan hari ini dan berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Keupayaan luar jangkaan dipamer Mohamad Shukri Twkino (Perseorangan Lelaki B7) pada aksi pertamanya yang mudah menyingkirkan Muhammad Fadhlullah Madzlan dari Terengganu dengan kemenangan (16-7).

Diikuti kemenangan tipis (12-11) Ahmad Basirun Ismail ke atas Muhammad Nazirul Iqram Maliki dari Terengganu dalam kategori Perseorangan Lelaki B8.

Sementara itu, Nischal Nischolas Bujang turut cemerlang mencatat (13-8) menewaskan Sharil Uzaily Md Rashid dari Negeri Sembilan dalam kategori Perseorangan Lelaki B6.

Dalam pada itu, Norhasfalinda Hamdan juga berjaya mencatat kemenangan pertama, menumpaskan Nur Fadliana Tajudin dari Terengganu (14-4) dalam kategori Perseorangan Wanita B3.

Pun begitu, nasib berbeza dialami Nur ‘Azreen Azirah Mohamad Azelan yang tewas (1-12) ditangan atlet Johor, Nor Ilyana Abu Bakar dalam kategori Perseorangan Wanita B2.

Sambil itu, pertembungan sesama sendiri dua atlet Sarawak yang menyaksikan kemenangan (11-9) milik Then Chiew Yen ke atas Dayangku Aisah Awang Taha kategori Perseorangan Wanita B2.

Suara Sarawak