TAMPAK tenang, namun Parlimen P204 Betong sebenarnya menyaksikan pertarungan hebat, kerana ia membabitkan tiga personaliti berbeza, yang memiliki latar belakang dan pengalaman mengagumkan.

Ia membabitkan dua setiausaha politik yang berpengalaman berkhidmat di peringkat Kerajaan Persekutuan, dan seorang bekas pengetua cemerlang, yang juga komposer lagu terkemuka.

Dr Richard Rapu, 59 tahun, merupakan seorang pegawai veterinar di SEDC Sarawak, sebelum disuntik ke pentas politik oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada 2008.

Ketika itu Uggah bertanggungjawab terhadap Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan melihat potensi yang ada pada anak muda ini.

Pada 2013, beliau mengikuti Uggah berpindah ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti; sebelum Uggah meletak jawatan untuk menjawat Timbalan Ketua Menteri Sarawak (kini dikenali sebagai Timbalan Premier). Richard, dari Rumah Panjang Danau, Spaoh terus membantu Uggah di kawasannya secara probono, sebelum kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak/ Premier Sarawak; dan diangkat sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Betong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pesaingnya, Hasbie Satar, 49 tahun, juga tidak kurang hebat. Kelahiran Kampung Spaoh, Betong ini juga pernah memegang peranan yang sama.

Bezanya, Hasbie dilamar ketika beliau memegang jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Dianggap sebagai bakat luar biasa kelahiran INTAN atau Institut Tadbiran Awam Negara ketika itu, pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

Apabila bosnya, Tan Sri Noh Mohamad Yaacob dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi (Pak Lah), Hasbie diangkat sebagai Setiausaha Sulit Kanan.

Ia berlaku pada 2004, menjadikan beliau individu penting kepada semua pihak.

Pada 2008, beliau dilantik sebagai setiausaha politik, tugas yang digalasnya hingga tahun 2010 membabitkan dua Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melalui jawatan ini, Hasbie sebenarnya mengutip pengalaman berharga kerana beliau bukan dalam kalangan ahli politik, dan ahli UMNO, seperti kalangan rakan-rakan sejawatnya yang lain, yang bertugas untuk menteri UMNO.

Justeru beliau perlu menjalinkan hubungan dengan banyak individu, syarikat dan ahli politik, bagi memudahkan tugas dan kerjayanya.

Berdasarkan latar belakang ini, pertembungan dua setiausaha politik ini perlu dilihat dari sudut positif. Mereka memasarkan pengalaman masing-masing untuk mendekati rakyat dan menyelami keperluan mereka.

Cuma kelebihan yang wujud pada Dr Richard ialah beliau mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang kini merupakan kerajaan di peringkat negeri.

Hasbie yang beraksi sebagai calon Bebas, dengan menggunakan logo perahu.

Justeru, beliau perlu mengakui bahawa ia adalah tidak mudah untuk mencabar sebuah parti yang beliau sendiri sebenarnya hormati.

Cuma katanya, beliau bertanding Bebas, kerana beliau yakin dapat memberi sumbangan terbaik kepada negeri dan parlimennya, bersandarkan kelebihan yang padanya.

Namun jika dihadam secara jujur, kedua-duanya merupakan bakat besar yang amat diperlukan dalam pembangunan Betong dan negeri ini pada masa depan.

Ketika Dr Richard menyakinkan rakyat bahawa beliau menjalinkan hubungan baik dengan semua Adun GPS di Parlimen tersebut.

Hasbie, yang kini seorang usahawan terkemuka, berikrar untuk menggunakan pengaruh dan jaringan hubungannya bagi membawa lebih banyak peruntukan ke Parlimen tersebut.

Ini kerana katanya, mereka yang berada dalam pentadbiran awam dan saf politik Semenanjung ketika ini, adalah rakan-rakannya.

Justeru, menjadi kelebihan kepadanya untuk berkomunikasi dan berbincang dengan mereka jika diangkat menjadi ahli Parlimen.

Tidak kurang hebat ialah Patrick Kamis, 58, bekas pengetua cemerlang di SMK Pusa yang bersara awal kerana dipelawa menjadi calon pilihan raya.

Beliau sebenarnya, tidak perlu diperkenal kerana namanya harum sebagai komposer yang mencipta lagu-lagu hit era 2000-an.

Patrick, calon Pakatan Harapan yang pernah bertanding di Dun Saribas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2021 berkata, agenda perjuangannya jelas, iaitu mahu memastikan pembangunan dibawa ke Betong tanpa ketirisan.

Anak Debak ini berkata, kerana ketirisanlah maka pembangunan yang sepatutnya dinikmati oleh Parlimen itu sejak 20 tahun lalu, hanya dapat diperoleh hari ini.

Untuk rekod, Parlimen Betong sebenarnya sejak sekian lama merupakan kubu kuat GPS-PBB.

Di sini, Douglas Uggah membina legasi apabila memenanginya selama tujuh penggal berturut-turut sejak 1986.

Dan beliau menang dua kali tanpa bertanding iaitu pada penggal 1995 dan 1999. Apabila beliau berhijrah ke Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, kerusi tersebut diserahkan kepada Datuk Robert Lawson Chuat (BN) pada 2018.

Lawson mencipta 12,517 undi untuk menewaskan calon Bebas, Abang Ahmad Abang Suni (4,401 undi) dan Noel Changgai Bucking (PH) (3802 undi).

Pada PRU kali ini, kawasan ini memiliki 41,712 pemilih berdaftar, dengan 19,283 daripadanya merupakan Melayu/ Melanau; 18,981 Iban dan 2,636 Cina.

Untuk rekod, parlimen ini mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Layar; DUN Bukit Saban dan DUN Saribas.

Ketiga-tiga DUN ini kini diwakili oleh GPS.

Suara Sarawak