CALON… Tiong berganding tangan dengan Duke dan Chan Yew selepas diumumkan sebagai calon di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu.

BINTULU: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Bintulu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Perikatan Nasional(PN).

Penyandang lima penggal kerusi Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (GPS) daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) akan ditentang calon DAP, Chiew Chan Yew dan Duke Janteng daripada PN mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Duke merupakan calon terawal tiba di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu sekitar jam 8.25 pagi diiringi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdullah Suffian bersama-sama pencadang, Jabris Naong Nabau dan penyokong, Andrew Lawai Rina.

Ini merupakan penampilan sulung Ketua Bahagian Bersatu Bintulu itu dalam pilihan raya.

Manakala, Chan Yew tiba sekitar 8.46 pagi bersama bekas Ahli Parlimen Bintulu dan Adun Kidurong, Chiew Chui Sing dan Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling sambil diiringi kira-kira 30 penyokong.

PRU-15 merupakan penampilan ketiga Setiausaha DAP Bintulu itu dengan penampilan pertama pada PRU-14 dan kedua (PRN-12) di Dun Tanjong Batu.

Sementara itu, Tiong hadir ke pusat penamaan di Dewan Suarah Bintulu bersama tiga Adun Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Talib Zulpilip dan Johnny Pang Leong Ming kira -kira jam 8.51 pagi.

Parlimen Bintulu mempunyai bilangan pengundi berdaftar sebanyak 113,599 orang.

PRU-14 menyaksikan presiden PDP yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 7,022 undi selepas memperoleh 27,076 undi menewaskan pencabarnya, Chiew Chan Yew dari DAP yang memperoleh 20,054 undi sementara calon Parti Reformasi Sarawak, Chieng Lea Phing memperoleh 328 undi sekali gus hilang wang deposit.

Suara Sarawak