Datuk Roland Sagah bersama-sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli menunjukkan poster Pesta Buku Kuching 2022 selepas sidang media di Kuching, hari ini.

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) akan menganjurkan Pesta Buku Kuching 2022 pada 24 hingga 27 November ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran kali pertama di Sarawak itu akan menghimpunkan 14 peserta terdiri daripada syarikat buku dan penerbitan dari Kuching, Kuala Lumpur dan antarabangsa.

“Ia merupakan kali pertama diadakan di Sarawak, sebelum ini pesta buku banyak diadakan di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Kita juga mahu mengadakan program yang sama bagi mempamerkan buku-buku hasil tulisan warga tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pesta Buku Kuching 2022 di pejabatnya di Bangunan LCDA, The Isthmus di sini, hari ini.

Sagah dalam pada itu turut mengingatkan bahawa kepentingan membaca dalam meningkatkan ilmu pengetahuan perlu dipupuk dari peringkat awal.

Dalam masa sama katanya, amalan membaca mampu menarik minat seseorang yang cenderung ke arah penulisan sekali gus berupaya melahirkan lebih ramai penulis tempatan.

“Di Sarawak, kita masih kekurangan penulis dan penerbit buku, jadi dengan ini kita mahu menggalakkan rakyat untuk membaca.

“Minat yang mendalam dalam bacaan pasti menimbulkan satu keinginan untuk menulis, ini adalah untuk meningkatkan jumlah penulis Sarawak,” katanya.

Pesta Buku Kuching 2022 turut menampilkan beberapa program sampingan sebagai pengisian sepanjang acara itu berlangsung dengan kerjasama Majlis Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak (PPMKSAR).

Antaranya Hari Terbuka Keperluan Khas, Bacaan Kegemaran Saya bersama Fir Affandi, Afick Wazai dan Kak Lehot, Kupasan Buku BACA, Secangker Teh Setapak Bandong, Mengapa Membaca, Makermeet 2022 dan tayangan filem.

Suara Sarawak