GAMBAR RAMIDI SUBARI.

JANGAN hairan, jika rakyat Malaysia masih lagi memuat naik gambar jari di laman sosial masing-masing kerana bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih terasa.

Meninjau laman sosial, pelbagai cara dan bentuk gambar dimuat naik dengan menunjukkan jari yang sudah dicelup dengan dakwat ungu, menandakan kita sudah selesai mengundi.

Perkara itu menjadi lebih menarik apabila ramai golongan muda keluar mengundi susulan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran mengundi secara automatik.

Gambar jari juga sohor kini dan masih membanjiri media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain.

Cerita PRU-15 masih hangat kerana semua rakyat Malaysia menunggu pembentukan kerajaan, namun belum ada nama Perdana Menteri diumumkan.

Bagaimanapun, melihat proses pengundian negara pada 19 November lalu, sememangnya sangat menarik meskipun terdapat kawasan yang dinaiki air dan sebagainya.

Perkara tersebut tidak mematahkan semangat warganegara Malaysia tidak kira golongan muda atau warga emas untuk keluar menunaikan tanggungjawab bagi membentuk kerajaan.

Memetik laporan berita nasional, seorang warga United Kingdom (UK) berasa teruja melihat proses pengundian PRU-15 dan mengambil peluang hadir ke pusat mengundi Parlimen Batu, di Kuala Lumpur.

Edward Watson, 45 tahun, memaklumkan, dia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pesta demokrasi di negara ini yang disifatkannya sebagai unik dan berbeza daripada negara lain.

Dia juga memuji proses demokrasi di sini berjalan dengan tenang, tidak seperti di negara lain.

Katanya, proses pilihan raya di Malaysia sangat unik, banyak parti politik dan calon bertanding untuk menjadi wakil rakyat. Perkara ini yang kita mahu, keharmonian negara “kelihatan” di mata dunia dan bukan perkara yang tidak baik.

Dalam keasyikan berpolitik, kita jangan lupa bahawa perlu menjadi contoh yang baik kepada golongan muda dan menjaga keamanan.

Jangan terlalu ghairah hingga kita tidak mampu mengawal diri sehingga mencetuskan banyak perkara negatif.

Dalam pada itu, Sarawak pada hari mengundi juga telah mengalami cabaran apabila kawasan Parlimen Baram dilanda banjir.

Namun, proses pengundian berjalan mengikut jadual walaupun beberapa pusat mengundi terpaksa dipindahkan selepas dinaiki air.

Menurut Bernama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata, Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib yang bertanggungjawab untuk kawasan Baram melaporkan, polis berkolaborasi dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian PRU-15 di bahagian itu berjalan lancar.

Sementara itu, di Miri, Adun Telang Usan Dennis Ngau ketika dihubungi Bernama berkata, pusat-pusat pengundian PRU15 di sekitar kawasan itu telah dibuka bagi membolehkan proses pengundian bagi Parlimen Baram berjalan seperti dirancang.

Perkara tersebut jelas menunjukkan walaupun terdapat pelbagai cabaran tetapi ia tidak menghalang proses pengundian berjalan dengan baik, seterusnya akan menjadi sejarah untuk diingati pada masa akan datang.

Kelmarin, pengundian di Parlimen Baram berjaya dilaksanakan. Selepas pengiraan undi, calon GPS, Datuk Anyi Ngau diumumkan sebagai pemenang dengan memperoleh 18,399 undi.

Kempen sudah, mengundi pun sudah. Sekarang tiba masa kita untuk melihat siapa yang bakal meneraju negara. Tepuk dada, tanya selera.

Suara Sarawak