KUCHING: Parlimen Petra Jaya akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof, 60, sebagai penyandang.

Beliau akan menentang dua calon dari Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) Datuk Othman Abdillah, 66, dan Pakatan Harapan (PH) Sopian Julaihi, 54.

Tepat jam 10 pagi, hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Petra Jaya Mohamed Khaidir Abang mengumumkan penerimaan kertas pencalonan ditutup.

Calon bertanding di Parlimen Petra Jaya (kiri) Fadillah, Sopian dan Othman

Sekali gus, mengumumkan urutan calon satu, Fadillah, calon dua Sopian dan calon tiga Othman selepas borang pencalonan selesai disemak sekitar jam 11.35 pagi.

Menurutnya lagi, ketiga-tiga calon bertanding diterima dan tiada yang digugurkan.

Semua calon, pencadang, penyokong dan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan membuatkan proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Petra Jaya semalam, berjalan dengan lancar.

Penyandang Parlimen Petra Jaya, Fadillah telah memegang kerusi itu selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2004 menjadikan ia sebagai kubu kuat GPS.

Pada PRU-14, Fadillah telah mempertahankan kerusinya dengan majoriti 15,017 undi, menewaskan calon PH Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Hamdan Sani.

Suara Sarawak