KUCHING: Seramai 350 penghantar makanan bermotosikal (rider) Food Panda dan Grab Food daerah ini menerima sumbangan petrol percuma daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak.

Pengarah YADIM Negeri Sarawak Awang Dulhadi Awang Mat berkata, inisiatif tersebut untuk membantu meringankan beban kumpulan yang terkesan supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan minyak.

“Sumbangan ini akan memberi manfaat kepada kumpulan penghantar makanan tersebut yang menerima bantuan Petrol berjumlah RM10 seorang.

Pelancaran gimik bantuan petrol percuma kepada kumpulan penghantar makanan Food Panda di Stesen Minyak Petronas Jalan Rock di sini hari ini.

“Ini merupakan program yang kedua selepas yang pertama kita adakan pada 31 Julai 2021 di Petronas Ulu Bintawa. Kerjasama ini masih melibatkan pemilik stesen minyak yang sama namun stesen yang berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut beliau, program Kongsi Rezeki ini mendapat kerjasama daripada Petronas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Stesen Minyak Petronas Jalan Rock di sini.

“Bantuan ini kita salurkan melalui akaun Setel Petronas untuk penghantar makanan terbabit.

Pengarah YADIM, Awang Dulhadi Awang Mat.

“Harapan kita, RM10 petrol ini boleh membantu meningkatkan lagi pendapatan dalam kalangan penghantar makanan di sekitar Kuching,” katanya selepas melancarkan gimik bantuan petrol percuma kepada kumpulan penghantar makanan Food Panda di Stesen Minyak Petronas Jalan Rock di sini hari ini.

Sementara Pengurus Kawasan Petronas Mohd Jais Daud berkata, program ini menjadi platform atau permulaan kepada pengguna aplikasi Setel di stesen minyak petronas.

“Banyak manfaat penggunaan aplikasi setel kerana ia lebih mudah dan cepat serta menjimatkan masa. Ini kerana kita tidak perlu beratur di kaunter dan bayaran tanpa tunai lebih selamat lebih-lebih lagi dalam menangani wabak penularan Covid-19.

Merakam foto berkumpulan bersama Pengarah YADIM, Awang Dulhadi Awang Mat (empat kanan barisan belakang), Pengurus Kawasan Petronas Mohd Jais Daud (lima kanan barisan belakang) dan Pemilik Petronas Jalan Rock, Masniah Suhailie (tiga kanan barisan kedua) selepas perasmian program.

Dengan adanya program sebegini jelasnya, jualan minyak menerusi aplikasi digital semakin meningkat seperti yang diuar-uarkan Premier Sarawak untuk meningkatkan transformasi digital bagi mencapai negeri maju menjelang 2030.

Selain sumbangan petrol percuma YADIM Negeri Sarawak turut menyumbangkan sarapan pagi sebanyak 100 bungkus kepada orang ramai.

Suara Sarawak