SIMANGGANG: Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Batang Lupar sudah mula membayangkan beberapa pendekatan yang akan ditawarkan sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calonnya, Wel @Maxwell Rojis berkata, usaha itu akan dilakukan dalam usaha merancakkan kembali pembangunan di parlimen tersebut.

Beliau berkata, tiga pendekatan yang akan dititikberatkan di Parlimen itu ialah isu kemiskinan rakyat, penubuhan balai bomba dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) baharu.

BERCAKAP… Calon PH Parlimen Batang Lupar, Wel @Maxwell Rojis

Katanya  pembangunan infrastruktur jalan raya yang giat dijalankan di kawasan pesisir itu tidak cukup menjamin kehidupan dan keselesaan rakyat.

“Saya ingat kawasan Batang Lupar memerlukan sebuah lagi sekolah menengah, balai bomba baharu.

“Sekarang kita tiada bomba di semua kawasan (Batang Lupar). Saya khawatir kalau ada kebakaran di kampung-kampung macam mana nam selamat rakyat di Batang Lupar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Pusat Penamaan Calon Batang Lupar, di sini, hari ini.

Beliau berharap dapat diberi mandat semula menjelang PRU-15 ini bagi menyambung semula kepimpinan PH yang terdahulu hanya memerintah selama 22 bulan.

Jelasnya, kepimpinan PH sepatutnya tidak dinilai hanya berdasarkan tempoh singkat semasa pemerintahnya terdahulu.

Suara Sarawak