MATA bengkak, lesu namun semangat tetap luar biasa.

Itu kesan menonton bola sepak Piala Dunia sejak puluhan tahun lalu. Dan ia kembali lagi kali ini dengan Qatar menjadi tuan rumah.

Majlis perasmian sukan gemilang dunia ini berlangsung pada Ahad lalu dengan menampilkan Morgan Freeman sebagai antara watak utama.

Perlawanan selepas itu berlangsung terus hingga 18 Disember depan. Ini merupakan kali pertama benua Arab menjadi tuan rumah dan kedua di Asia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002. Sebanyak 32 pasukan bertanding di sini, selepas kebanyakannya bertanding di peringkat kelayakan.

Di sini mereka akan bertanding di peringkat kumpulan diadakan di lapan padang di lima bandar raya berbeza. Sehingga artikel ini dihasilkan, sebanyak lima perlawanan telah dilangsungkan dan 17 gol berjaya dihasilkan, dengan jumlah penonton mencecah 285,857 orang.

Secara peribadi, di pentas inilah sebenarnya penulis mula mengenali nama-nama besar bola sepak seperti Diego Maradona, Ronaldo Nazario, Bebeto, Marco Van Basten, Zinedine Zidane, Roberto Carlos, Ronaldinho dan Cristiano Ronaldo, tanpa melupai puluhan nama lain yang menjadi pujaan dunia.

Piala Dunia FIFA dianjurkan empat kali setahun sejak 1930, kecuali pada 1942 hingga 1946 apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Kali terakhir diadakan pada 2018, di Rusia, juaranya ketika itu ialah Perancis, yang memenanginya untuk kali kedua.

Pasukan yang paling berjaya ialah “samba” Brazil, yang pernah menjulang piala ini sebanyak lima kali.

Pemenang lain ialah Jerman dan Itali sebanyak empat kali; Argentina dan Uruguay (2),dan England serta Sepanyol (1).

Individu paling berjaya di Piala Dunia ialah pemain Jerman, Miroslav Klose yang telah berjaya mencetak 16 gol. Legenda Brazil, Ronaldo (15 gol); Gerd Muller – Jerman (14 gol); Just Fontaine – Perancis (13 gol); Pele – Brazil (12 gol); Juergen Klinsmann – Jerman (11 gol), serta Sandor Kocsis – Hungary (11 gol).

Negara yang paling banyak menggegarkan jaring ialah Brazil dengan 229 gol; Jerman – 226 gol; Argentina – 137 gol; Itali -128 gol; dan Perancis – 99 gol.

Ketika mula dianjurkan, dan Uruguay menjadi juara, pertandingan ini hanya disaksikan 590,549 orang.

Namun pada aksi di Rusia, lebih 3.03 juta hadir sendiri menyaksikan para pemain hebat dunia ini beraksi. Ia bagaimanapun tidak dapat mengalahkan 3.58 juta penonton yang berkunjung di Amerika Syarikat untuk tujuan yang sama pada 1994.

Justeru ia sebenarnya bukan satu sukan biasa. Ia aktiviti pelancongan sukan tersohor dunia, yang menyaksikan puluhan juta penonton yang setiap satunya berpotensi mengeluarkan lebih RM5,000 resit perbelanjaan.

Jika saya sanggup bersengkang mata, begitu juga peminat sukan bola sepak lain di seluruh dunia, walaupun pada bulan Ramadan.

Ketika perlawanan Piala Dunia 2006 berlangsung, dianggarkan ia ditonton lebih 26.29 bilion penonton, dengan 715.1 juta orang menonton aksi final. Kerana itu ramai yang berebut untuk menjadi tuan rumah. Tidak semua pembida berjaya melakukannya.

Antara 17 negara bertuah ialah Brazil, Perancis, Itali, Jerman, dan Mexico yang menganjurnya sebanyak dua kali. Manakala negara-negara seperti Uruguay, Switzerland, Sweden, Chile, England, Argentina, Sepanyol, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan; Afrika Selatan, dan Rusia menganjurkannya sekali. Pada 2026, Kanada, Amerika Syarikat, dan Mexico, akan menjadi penganjur bersama, dengan jumlah pasukan dijangka meningkat kepada 48 pasukan.

Piala Dunia menjadi tumpuan kerana di sinilah aksi pemasaran terhebat berlaku. Manusia tanpa kira ras, kaum dan warna kulit serta agama bersatu untuk gembira, marah, ketawa dan menangis dalam menyaksikan aksi-aksi pemain yang bukan pun dari negara mereka sendiri. Itulah penangan sukan terhebat dunia ini.

Kerana itulah ada penyiar yang sanggup berhabis ratusan juta, membayar kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk mendapatkan hak penyiaran.

Begitu juga dengan penjualan kotak iklan dan sebagainya, yang nilainya bernilai jutaan dolar. Ketika Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja 1997 yang turut berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching, saya dapat menyaksikan sendiri betapa hebatnya standard penganjuran dan sokongan terhadap pasukan yang bertanding.

Malah para penaja iaitu produk minuman dan coklat terkenal menyediakan produk mereka secara percuma kepada kami wartawan ketika itu.

Bayangkan penganjurannya pada skala ini berulang di Malaysia. Pasti sukar untuk kita menampung jumlah kehadiran yang menyesakkan di seluruh kawasan.

Namun yang pasti, berada dan beraksi dalam Piala Dunia adalah satu maruah bukan sahaja bagi negara-negara yang bertanding, tetapi juga mereka yang terlibat dalam pertaruhan.

Justeru tidak hairanlah ada yang cukup emosi, apabila pasukan yang disokong, kalah. Ini terbukti apabila Andres Escobar yang bermain untuk Colombia maut ditembak di Medelin, dua minggu selepas menjadi punca pasukannya kalah 0-2 kepada tuan rumah, Amerika Syarikat.

Ironinya, perlawanan itu adalah pelengkap pusingan kerana pasukan itu telah tersingkir awal kerana kalah dalam perlawanan terdahulu.

Siapa juara Piala Dunia kali ini? Banyak pemain telah menunjukkan kehebatan, banyak rantau telah menyaksikan perkembangan.

Tidak mustahil ia bukan sekadar milik Amerika Selatan dan Eropah. Mungkin saingan kini lebih terbuka.

• Rudi Afendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suara Sarawak