ABANG JOHARI menyampaikan sumbangan Unifor kepada wakil gereja. Foto. OSMAN RAZALI

SARATOK: Rakyat diingatkan agar sentiasa mengutamakan kehendak Sarawak berbanding peribadi seseorang pemimpin dalam berpolitik, termasuk hal melibatkan negara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, perkara melibatkan negara tidak boleh berkisar kepada peribadi.

Beliau mahu rakyat di kawasan ini agar tidak semata-mata melihat sudut kebaikan penyandang kerusi Parlimen Saratok Datuk Ali Biju yang juga calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

“Dalam hal melibatkan negara, peribadi tidak termasuk. Sama ada beliau baik atau tidak, itu terpulang.

“Sama seperti saya, kalau pun saya baik. Jangan menilai peribadi saya, sebaliknya lihatlah kepada kehendak Sarawak,” katanya.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata demikian semasa merasmikan program Sarawakku Sayang di sini, hari ini.

Lebih-lebih lagi di kawasan Parlimen Saratok calon tersebut jelasnya, berdiri atas tiket parti berasaskan Semenanjung Malaysia.

“Kita mesti mempertahankan Sarawak dan tidak mahu parti berasaskan Semenanjung Malaysia bertapak di sini. Malah beberapa pemimpin negeri ini turut melakukan hal yang sama.

“Beliau (Ali) bertanding atas tiket PN, maknanya automatik parti berasaskan Semenanjung Malaysia. Tambahan ketua mereka di sana. Sebab itu saya kata, jangan sesekali parti di sana bertapak di Sarawak.

“Berbanding GPS, ketuanya di sini dapat sentiasa bersama orang Sarawak. Kita dapat tawar menawar. Inilah yang mesti dipertahankan kerana kita ada budaya sendiri, lebih tahu mengurus Sarawak,” ujarnya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Adun Kalaka Mohamad Duri; Adun Krian Friday Belik; Adun Kabong Mohd Chee Kadir dan Calon GPS Parlimen Saratok Giendam Jonathan Tait turut hadir.

ABANG JOHARI serta tetamu bergambar kenangan bersama-sama penduduk Saratok pada program Sarawakku Sayang di sini, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI
ABANG JOHARI menyempurnakan simbolik perasmian program Sarawakku Sayang di sini, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

Suara Sarawak