Pilih kerajaan yang tepat demi masa depan Sarawak- Ahmad Johnie
Ahmad Johnie menyantuni penduduk pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Passin, Daro, hari ini.

DARO: Calon GPS parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menzahirkan harapan agar penduduk Sarawak membuat keputusan tepat dalam membuat pilihan terbaik pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung 19 November ini.

Beliau memberi jaminan dengan mandat penuh rakyat Sarawak, GPS akan meneruskan usaha untuk memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan dan masa depan bersama.

“GPS adalah gabungan daripada parti komponen yang berasal dan dipimpin oleh rakyat Sarawak sendiri dan bertanggungjawab menjaga Sarawak seiring dengan slogannya “Utamakan Sarawak”.

“Justeru, para pengundi khasnya golongan muda dinasihati bertindak bijak dalam memilih pemimpin di kawasan masing-masing nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Passin, Daro, hari ini.

Tambah beliau, GPS telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Antara komitmen GPS katanya adalah memberi bantuan kepada rakyat Sarawak ketika mendepani pandemik Covid-19 seperti pemberian bakul makanan ketika PKP, melaksanakan diskaun elektrik dan air, moratorium, bantuan khas nelayan pada musim landas dan sebagainya.

“Oleh itu, penting untuk memilih pemimpin dari GPS supaya rakyat terus menikmati pembangunan demi kesejahteraan dan masa depan bersama,” ujarnya.

Beliau meneruskan kempennya yang memasuki hari ke-10 ke kawasan pedalaman dan dibantu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.

Parlimen Igan menyaksikan pertembungan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini antara Ahmad Johnie Zawawi (GPS) dan Hud Andri, calon dari Pakatan Harapan (PH).

Suara Sarawak