SARATOK: Sebuah dron yang diterbangkan ke kawasan sekitar Pusat Penamaan Calon bagi kerusi Parlimen Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, diarah diturunkan.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin bagaimanapun belum mengesahkan ia diterbangkan oleh wakil parti politik bertanding atau orang awam.

“Kita belum pasti siapa, tetapi anggota kita telah mengarahkan dron tersebut diturunkan.

DSP Mordani Tanin

“Dan larangan menerbangkan dron di sekitar Pusat Penamaan Calon, sudah dimaklumkan kepada semua parti politik,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulangi gesaan agar mana-mana parti dapat mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Secara keseluruhan, proses penamaan calon di Parlimen Saratok berjalan lancar dan terkawal walaupun ada sedikit ketegangan oleh penyokong masing-masing.

Kerusi Parlimen Saratok menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang Datuk Ali Biju mewakili PN, Giendam Jonathan Tait (GPS) dan Ibil Jaya Mundat (PKR).

Suara Sarawak