KUCHING: Polis Sarawak menerima dua laporan berhubung kesalahan menceroboh pejabat sebuah parti politik dan satu laporan berhubung khianat merosakkan bendera dan poster parti politik.

Jurucakap media Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sarawak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, dua laporan berkaitan kesalahan menceroboh pejabat sebuah parti politik yang terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Selain itu katanya, polis juga menerima satu kes di Daerah Bau berhubung khianat dengan merosakkan bendera dan bunting sebuah parti politik yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan ke atas kedua-dua kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara katanya, polis Sarawak telah meluluskan sebanyak 144 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh negeri ini.

“Setakat ini tiada sebarang masalah yang berlaku semasa ceramah dan kempen dijalankan,” jelasnya.

Tegasnya, Pesuruhjaya Polis Sarawak menasihatkan parti politik yang bertanding supaya mengingatkan penyokong masing-masing untuk tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Suara Sarawak