KUCHING: Bendera parti politik dirosakkan dan dipatahkan antara enam laporan yang diterima polis Sarawak semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, satu kertas siasatan dibuka berhubung beberapa bendera parti politik dirosakkan dan dipatahkan di tepi jalan berhadapan sebuah sekolah di Bintulu

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat.

“Selain itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan tujuan menegaskan yang pihak itu tiada kaitan atau pengetahuan mengenai kain rentang yang dipasang di kawasan Bau/Serikin/ Stass yang tertulis perkataan “BIJAGOI TOLAK MORDI TIPU HILANG TIDOR GAGAL DAN KITA JAGA NEGERI KITA TOLAK DAP”.

“Sementara, tiga laporan polis (ROA) dirujuk ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tindakan penguatkuasa SPR menurunkan bendera dan kain rentang sebuah parti politik yang dipasang di kawasan tidak bertanding dan didapati melanggar syarat dan peraturan yang telah diperuntukkan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kejadian berlaku di Bau, Bintangor dan Tabuan Jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala, beliau berkata, satu laporan polis dibuat di Bintulu dengan pengadu mendakwa kakitangannya ternampak bendera dan bahan-bahan kempen parti GPS telah dirosakkan orang yang tidak dikenali.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 303 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh negeri Sarawak telah diluluskan.

Suara Sarawak